KOTA BHARU – Ramai individu diisytiharkan bankrap di Kelantan kerana menjadi penjamin korporat atau syarikat dan sebanyak 427 kes bankrap dicatatkan sepanjang 2005 hingga 2009 bagi punca itu.
Pengarah Jabatan Insolvensi negeri, Rohaiza Abd Rahman berkata, punca kedua yang menyebabkan ramai bankrap adalah individu terbabit dengan sewa beli (230 kes) dan di tempat ketiga individu menjadi penjamin sosial (227 kes) termasuk membabitkan jual beli kenderaan.
“Di Kelantan mereka yang menjadi penjamin paling ramai dikesan diisytiharkan bankrap. Ramai di kalangan mereka yang tidak menyedarinya kerana ada yang menjadi penjamin kepada saudara mara atau rakan-rakan.
“Oleh itu masyarakat diingatkan supaya meneliti kapasiti atau keupayaan sesebuah syarikat sebelum bersetuju menjadi penjamin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, pihaknya mengesan banyak kes individu terpedaya tanpa disedari nama mereka digunakan sebagai penjamin dan jika boleh elakkan orang lain menggunakan nama anda tanpa persetujuan.
Sementara itu, katanya, golongan berusia 35 hingga 44 tahun dikesan paling ramai bankrap berbanding usia lain di negeri ini.
Rohaiza berkata, sepanjang Januari hingga kini seramai 258 kes bankrap dicatatkan manakala bagi tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 265 kes.
“Bagi negeri ini menjadi penjamin berisiko bankrap kerana mungkin individu terbabit mudah percaya dengan saudara, mara atau rakan yang meminta menjadi penjamin.
“Mungkin bagi masyarakat di bandar raya besar penggunaan kad kredit berlebihan yang menjadi punca ramai yang bankrap, namun di Kelantan penjamin yang berisiko tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment