Thursday, October 21, 2010

Penyakit kanser


7.6 juta mangsa kanser - mangsa di negara membangun lebih banyak daripada Eropah
SURVIVAL dan pesakit kanser baru-baru ini menghadiri sebuah perhimpunan bagi mengetengahkan perjuangan mereka terhadap penyakit itu di Beijing pada bulan Oktober lalu.

Berdasarkan sebuah kajian terkini, lebih daripada 12 juta kes kanser terbaru telah didiagnosis di seluruh dunia pada tahun 2007. Lebih menggerunkan, sejumlah 20,000 orang sehari atau 7.6 juta orang akan maut akibat penyakit ini.

Ramalan tersebut terkandung dalam laporan pertama seumpamanya oleh Persatuan Kanser Amerika Syarikat (AS). Ia adalah berdasarkan kadar kes kanser dan kematian dalam data Globocan 2002 yang dikompilasikan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa.

Menurut laporan Fakta dan Perangkaan Kanser Global, sekitar 5.4 juta kes kanser dan 2.9 juta kematian akan berlaku di negara-negara perindustrian.

Jenis kanser paling umum dilaporkan adalah kanser prostat, paru-paru dan kolon yang berlaku di kalangan lelaki manakala kanser payu dara, paru-paru dan kolon pula di kalangan kaum wanita.

Sekitar 6.7 juta kes kanser dan 4.7 juta kematian akan berlaku di negara membangun dengan kanser paru-paru, perut dan hati paling tinggi di kalangan lelaki.

Kaum wanita pula lebih cenderung menderita kanser payu dara, rahim dan perut.

“Bebanan kanser kian meningkat di negara membangun kerana kadar kematian akibat penyakit berjangkit dan kadar kematian kanak-kanak telah merosot,” kata pakar epidemiologi di Persatuan Kanser Amerika dan pengarang bersama dalam laporan tersebut, Ahmedin Jemal.

Kira-kira 15 peratus daripada kesemua kanser dikaitkan dengan jangkitan seperti kanser perut, hati dan kanser rahim.

Akan tetapi, di negara-negara membangun, kes-kes kanser adalah tiga kali ganda dikaitkan dengan jangkitan berbanding negara-negara perindustrian iaitu perbandingan kira-kira 26 peratus dengan lapan peratus.

“Bebanan kanser ini juga meningkat seiring dengan kecenderungan masyarakat di negara-negara membangun yang mengadaptasikan gaya hidup Barat seperti merokok, pengambilan makanan kaya lemak, tinggi kalori dan kurang bersenam,” jelas Jemal.

Laporan tersebut juga terkandung satu fokus khas mengenai tabiat merokok yang dinamakan Epidemik Tembakau yang meramalkan lebih daripada satu bilion orang akan mati akibat penyakit berkaitan rokok pada abad ke-21 dengan sebahagian besarnya dari negaraa membangun.

Ini dibandingkan dengan kira-kira 100 juta kematian akibat merokok di seluruh dunia pada abad ke-20.

Kira-kira lima juta orang di serata dunia mati akibat penyalahgunaan tembakau pada tahun 2000 dengan sekitar 30 peratus daripada 1.42 juta orang mendapat kanser dan 850,000 lagi dibebani kanser paru-paru.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, kira-kira 84 peratus daripada sejumlah 1.3 bilion perokok di dunia tinggal di negara-negara membangun.

Di China sahaja, WHO menganggarkan, terdapat lebih daripada 350 juta perokok dengan perangkaan yang lebih besar dari keseluruhan populasi di Amerika Syarikat (AS).

Jika trend tersebut berlanjutan, diramalkan sekitar dua bilion perokok di seluruh dunia menjelang tahun 2030 dengan separuh daripadanya akan mati akibat penyakit berkaitan rokok andai kata mereka tidak menghentikan tabiat buruk tersebut!

No comments:

Post a Comment

X-Men Logo 2