GEORGE TOWN – Polis melumpuhkan sindi- ket pengedaran kad kredit palsu yang bergerak aktif pada peringkat antarabangsa awal pagi semalam dengan tertangkapnya enam perancang utama kegiatan itu.
Hasil kejayaan itu polis merampas 900 keping kad kredit yang dianggarkan bernilai RM9 juta yang dijual dengan harga RM10,000 setiap keping kepada pelanggan di Eropah.
Tangkapan itu adalah hasil maklumat melalui tangkapan seorang warga Taiwan pada Oktober lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nordin Mohd. Idris berkata, suspek-suspek yang berusia antara 30 hingga 40-an tahun itu ditahan serentak di sini, Butterworth dan Ipoh, Perak kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
Menurut beliau, kad kredit itu diproses di tiga lokasi tersebut sebelum dipasarkan kepada pelanggan melalui penghantaran kurier dengan meletakkan kad tersebut di belakang lukisan berbingkai.
“Selain kad kredit, polis turut merampas mesin memproses kad, komputer riba, telefon bimbit, wang tunai RM12,000 dan mata wang Hong Kong HKD80,000.
“Turut dirampas ialah jam tangan berjenama, beg duit berjenama dan komputer riba yang dibeli menggunakan kad kredit palsu tersebut,” katanya.
Mohd. Nordin memberitahu, modus operandi sindiket itu ialah mencuri maklumat pada kad kredit warga asing yang berbelanja di Malaysia sebelum dimasukkan ke dalam kad kredit palsu tersebut.
“Mereka juga memproses pasport palsu yang digunakan sebagai bukti pembelian di beberapa buah negara.
“Polis percaya sindiket ini mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa dengan bebe- rapa tangkapan yang dilakukan di Vietnam, Nepal dan New Zealand sebelum ini,” ujarnya.
Salah seorang suspek yang ditangkap juga memiliki rekod jenayah atas kesalahan pemal- suan kad kredit dan ditangkap di Korea pada tahun 2002.
No comments:
Post a Comment