NAMA Malaysia tiba-tiba menjadi sebutan dunia apabila berjaya menghantar rakyat pertamanya ke angkasa lepas pada bulan Oktober lalu. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, menjadi anak Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan berada di sana selama 11 hari.
Pelbagai isu sedih, menyentuh perasaan, tragedi dan menyayat hati mewarnai kalender tahun 2007. Kehilangan kanak-kanak menjadi antara isu penting yang diperkatakan sepanjang tahun ini. Penantian kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, berakhir dengan trauma apabila mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang cukup menyentuh hati dan perasaan. Mayatnya disumbat dalam sebuah beg sukan dan ditemui di sekitar Petaling Jaya.
Enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pesawat Nuri yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan terbunuh setelah helikopter Nuri yang mereka naiki terhempas berhampiran Genting Sempah, Pahang. Mayat krew tragedi menyayat hati itu ditemui pada pukul 1.24 tengah hari, 17 Julai.
Seramai 20 orang maut, lapan cedera parah manakala seorang cedera ringan apabila bas ekspres berusia 20 tahun yang dinaiki terhumban ke parit sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Perak, pada bulan Ogos lalu.
Kemalangan yang disifatkan sebagai nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu turut membunuh pemandu bas terbabit.
Selepas kejadian sama 100 tahun lalu, banjir besar sekali lagi melanda Johor, Melaka dan Pahang yang bermula sejak 18 Disember 2006 hingga ke Januari 2007.
Harga barang yang tidak pernah turun bukan saja menyebabkan orang ramai tertekan malah bingung apabila beberapa barangan runcit mengalami kenaikan harga pada tahun ini.
Kenaikan gaji yang diumum oleh Perdana Menteri pada 21 Mei menggembirakan 1,002,040 kakitangan awam.
Penyapu menjadi objek hangat yang diperkatakan pada bulan November lalu apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.
Isu itu telah menarik perhatian ahli parlimen, para cendekiawan dan ahli bahasa untuk memperdebatkan kewajarannya.
Perjuangan ibu muda, Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, untuk membawa pulang anaknya dari Pakistan, Arman Khan, satu tahun, berakhir dengan berita gembira apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah membenarkan permohonannya untuk mendapatkan hak penjagaan sementara.
Demonstrasi oleh Pertubuhan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mengakibatkan huru-hara dan rasa kurang senang di kalangan masyarakat negara ini telah mencalarkan sedikit sebanyak nama baik Malaysia.
No comments:
Post a Comment